MASLAH YANG DIHADAPI OLEH KANAK-KANAK YANG GEMUK
Kanak-kanak yang terlalu gemuk memang mudah dikenali tetapi cara-cara mengenali kegemukan dengan cara saintifik boleh digunakan dengan mengukur timbang berat dan tinggi seseorang kanak-kanak itu dan perkembangannya itu dicatatkan berdasarkan rajah pertumbuhan kanak-kanak. Para doktor kemudian akan mendapat bayangan secara grafik akan kegemukan seseorang itu. Satu lagi cara yang digunakan oleh para penyelidik kegemukan ialah mengukur ketebalan kulit kanak-kanak seperti dibahagian belakang lengan (triceps). Ada rajah-rajah yang boleh digunakan untuk membandingkan ketebalan kulit dibahagian triceps kanak-kanak itu. Lipatan kulit triceps bagi kanak-kanak yang gemuk adalah tebal tetapi cara ukuran seperti ini lebih digunakan dalam penyelidikan-penyelidikan sahaja.
Berbagai-bagai pendapat tentang punca kegemukan telah dikemukakan oleh para penyelidik. Puncanya agak kompleks dan ada banyak hubungkait dengan memakan lebih dari keperluan tumbesaran dan aktiviti , faktor-faktor baka , fizikal , psikologi dan sosial. Kebanyakan dari penyelidik berpendapat bahawa bayi-bayi yang gemuk mempunyai risiko yang tinggi untuk terus gemuk pada peringkat dewasa. Ada pula yang mengatakan bahawa kegemukan yang bermula dari peringkat kanak-kanak berumur enam tahun keatas akan lebih mudah berterusan kepada peringkat dewasa kelak. Apakah asas pada pendapat ini? Menurut pendapat seorang penyelidik, kegemukan seseorang itu berpunca dari jumlah dan saiz sel-sel lemak (fac cells). Sel-sel ini bertambah didalam badan dengan pesatnya dari beberapa peringkat: (I) pada peringkat akhir kandungan (third trimester) (ii) berterusan sehingga usia bayi enam tahun keatas. Adalah difikirkan bahawa peringkat-peringkat ini sangat kritikal dalam menunjukkan kegemukan dikalangan kanak-kanak jika terlalu banyak bahan makanan diberikan kepada mereka.
Tetapi adakah kegemukan itu merbahaya?
Bahaya kegemukan
Sudah memang tidak boleh dinafikan lagi bahawa kegemukan dikalangan orang-orang dewasa akan meninggikan risiko untuk mereka mengalami beberapa penyakit seperti darah tinggi, penyakit jantung, penyakit kencing manis dan penyakit sendi-sendi (osteoarthritis). Dari itu untuk mengelakkan terdapatnya penyakit-penyakit ini kegemukan perlulah dielakkan. Ini bermakna kegemukan mestilah dicegah dan dihindarkan dari peringkat bayi dan kanak-kanak. Punca-punca kemukan pada kedua-dua peringkat ini berbeza. Oleh itu kegemukan pada kedua-dua peringkat ini akan dibincangkan secara bersingan.
Kegemukan dikalangan bayi-bayi
Jika susu diberi dengan berlebihan, ia boleh mengakibatkan seseorang bayi itu menjadi gemuk. Terdapat banyak penyelidikan yang menunjukkan kumpulan kanak-kanak yang diberi susu tepung lebih gemuk dari kumpulan kanak-kanak yang diberi susu badan. Para ibu yang memberi susu tepung selalu menggalakkan bayi-bayi mereka menghabiskan susu didalam botol dengan tidak mengira sama ada bayi mereka itu mengantuk, sudah kenyang atau tidak ingin terus menghisap susu. Jika susu yang lebih pekat diberikan, kalori juga akan bertambah dan ini boleh mengakibatkan bayi itu menjadi gemuk. Satu punca penting yang membawa kepada kegemukan bayi ialah jika ibu memulakan makanan peralihan seperti pepejal terlalu awal sebelum usia bayi empat bulan. Kadangkala telur dan juga daging yang telah diperhaluskan diberi dan ini semua menyebabkan bayi itu mendapat jumlah kalori yang terlalu tinggi daripada keperluannya. Satu penyelidikkan menunjukan bahawa bayi -bayi yang mendapat susu badan lebih aktif , kurang tidur dan lebih mendapat stimulasi dari bayi -bayi yang diberi susu tepung. Mereka juga lebih kerap menghisap dan semua ini mungkin menyebabkan penggunaan kalori yang lebih banyak daripada bayi -bayi yang diberi susu tepung .
Cara -cara ibu memberi makan bayinya juga boleh menentukan kegemukan atau keadaan bayi yang tidak subur. Ibu -ibu yang kurang berpengalaman boleh memberi bayi -bayi mereka bancuhan susu yang kurang padat membiarkan bayi mereka itu terus tidur walaupun sudah sepatutnya meminum susu. Sebaliknya juga ada ibu -ibu yang memberi susu formula tepung dengan berlebihan dan gelisah jika bayi -bayi mereka tidak menghabiskan susu yang disediakan. Ada juga yang mendapatkan bancuhan susu. Ada ibu -ibu yang sangat sukakan bayi -bayi mereka gemuk kerana pada perasaan mereka ini adalah sihat dan cantik.
Mencegah kegemukan dikalangan bayi -bayi.
Memang jelaslah bahawa tanggungjawab untuk mencegah kegemukan terletak pada ibu -ibu sendiri. Pengetahuan tentang jenis -jenis makanan yang berkalori tinggi , cara menyediakan susu serta memahami kelakuan bayi adalah penting untuk mengetahui cara -cara untuk mengurangkan atau mengelakkan kegemukan di kalangan bayi -bayi mereka. Pakar -pakar kanak -kanak menyarankan ibu -ibu memberi bayi mereka susu bandan untuk mengelakan kegemukan ; selain daripada mengelakan kesan -kesan negatif yang dikaitkan dengan susu formula tepung. Ibu -ibu perlulah faham bahawa bayi berbeza keinginannya untuk menghisap dari masa ke masa , biasanya bayi -bayi kurang ingin menyusu apabila dia meningkat usia setahun. Penggunaan rajah -rajah pertumbuhan boleh membantu ibu -ibu mengesan kegemukan. Makanan peralihan seperti bijirin , telur , daging yang diperhaluskan mestilah diberi selepas usia bayi meningkat empat bulan. Pemberian jus buah -buahan dengan kerapnya akan menambahkan jumlah kalori yang membawa kepada kegemukan. Bayi patut digalakkan untuk mengerakan badannya selalu. Bayi -bayi yang berusia dibawah dua belas bulan yang gemuk disarankan supaya tidak mendapat lebih daripada 30 auns susu dalam sehari. Jika bayi masih ingin menyusu adalah disarankan supaya diberi hanya air yang telah dimasak dan disejukan
Matlamat yang ingin dicapai dalam rawatan bayi -bayi yang gemuk bukanlah untuk mengurangkan timbang beratnya tetapi hanya untuk mengurangkan kelajuan timbang beratnya meningkat supaya sejajar dengan kelajuan meningkatnya ukuran panjangnya.
Akibat kegemukan di kalangan bayi-bayi
Pakar kanak-kanak mendapati ramai bayi-bayi yang gemuk lebih kerap mendapat penyakit paru-paru. Ini mungkin ada kaitannta dengan kekurangan fungsi pernafasan akibat kegemukan,. Ada juga kemungkinan kuasa perlindungannya (immunity ) lebih rendah dari kanak-kanak biasa.
Kegemukan pada peringkat kanak-kanak dan remaja
Selepas peringkat bayi faktor-faktor yang boleh mewujudkan kegemukan dikalangan kanak-kanak dan peringkat remaja adalah berlainan dari faktor-faktor yang dikatakan boleh mewujudkan kegemukan diperingkat bayi. Kanak-kanak yang membesar sudah tentulah akan menggunakan lebih tenaga dalam aktiviti-aktivitinya kalau dibandingkan dengan bayi. Walaupun tabiat makan berlebihan selalu dikaitkan dengan kegemukan tidak semua kanak-kanak yang gemuk mempunyai tabiat sedemikian. Penyelidikan menunjukkan tidak ada perbezaan diantara jumlah kalori dari makanan diantara kanak-kanak yang gemuk dengan kanak-kanak yang sederhana saiznya. Sebaliknya ada pula pakar-pakar yang mengatakan bahawa kanak-kanak yang selalu duduk dan tidak menjalankan latihan jasmani mudah menjadi gemuk. Ini juga dinafikan oleh beberapa penyelidikan. Kalau tidak kerana lebih makan atau kurang aktiviti mungkinkah kegemukan seseorang kanak-kanak itu berpunca dari kadar metabolismanya, atau bersangkut-paut dengan unsur genetiknya?
Ada satu pendapat yang menarik yang dikemukakan oleh seorang ahli penyelidik bernama Jung. Beliau mengatakan metabolisma tisu lemak (brown adipose tissue) dikalangan kanak-kanak yang gemuk adalah lebih rendah kalau dibandingkan dengan yang terdapat pada kanak-kanak yang sederhana timbangannya atau kurus. Pendeknya walaupun seseorang kanak-kanak itu mendapat jumlah kalori seharian yang sederhana banyak jika metabolisma lemaknya terlampau tinggi dia akan sukar menjadi gemuk. Sebaliknya jika metabolisma lemaknya terlalu rendah yang mengakibatkan tidak banyak kaloro yang hilang, badanya akan menjadi gemuk. Kalau betul teori yang dicadangkan oleh Jung ini, dan kalau satu bahan kimia yang boleh meninggikan metabolisma 'brown fat' ini dapat dikenalpasti, ia akan memudahkan usaha para doktor merawat kanak-kanak yang gemuk.
Kanak -kanak yang banyak makan dan jarang membuat latihan atau aktiviti jasmani dan sebaliknya menghabiskan banyak masanya dengan menonton televisyen , dia akan mudah menjadi gemuk. Kanak -kanak yang cacat yang tidak boleh berjalan dan terpaksa dengan menggunakan kerusi roda juga mudah menjadi gemuk. Makanan -makanan yang mengandungi karbohaidrat seperti nasi dan ubi jika di makan dengan banyaknya juga boleh membawa kepada kegemukan. Gula -gula , coklat , kuih -muih yang manis dan aiskrim jika di makan dengan banyak turut boleh membawa kepada kegemukan.
Unsur baka juga adalah penting dalam menentukan kegemukan di kalangan kanak -kanak. Jika ibu dan bapanya gemuk besar kemungkinannya kanak -kanak dalam keluarga itu mungkin juga mengalami masalah yang sama.
Kanak -kanak yang gemuk selalunya tinggi bagi umurnya tetapi kanak -kanak gemuk yang pendek kalau dibanding dengan kanak -kanak seumur dengannya , perlu disiasat , untuk menentukan samaada punca kegemukannya itu ada berkaitan dengan unsur kekurangan bahan hormon ' thyroid ' ( hypothyroidism ). Ini akan memerlukan rawatan hormon. Ada beberapa syndrome yang digelar Prader- Willi syndrom , ' Klinefelter ' s Syndrome dan ' Laurence- Moon - Piedl Syndrome ' yang boleh membawa kepada kegemukan dan ini biasanya boleh dikenalpasti oleh doktor -doktor. Sindrom -sindrom ini memerlukan rawatan yang berlainan.
Seperti merawat bayi -bayi gemuk rawatan bagi kanak -kanak dan remaja yang gemuk juga mempunyai matlamat untuk mengawasi timbang berat dan bukannya untuk menurunkan timbang beratnya. Walau apa sahaja pun punca kegemukan yang difikirkan rawatan masih juga ditumpukan kepada mengurangkan jumlah kalori yang diberikan setiap hari melalui makanan kepada kanak -kanak gemuk. Ada tiga keperluan yang asas yang perlu diambil kira dalam usaha merawat kegemukan. Pertama ialah motivasi , kedua mengurangkan kalori melalui makanan dan ketiga melebihkan aktiviti jasmani.
Motivasi tidak mudah disemai didalam fikiran kanak -kanak yang gemuk. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan anak -anak mereka supaya kurang makan. Selalu didapati keadaan dimana ibu atau bapa yang sendirinya menghadapi masalah untuk mengurangkan timbang beratnya. Mereka sendiri mungkin berasa kurang yakin yang usaha untuk mengurangkan timbang berat anaknya akan berhasil.
Mengurangkan jumlah kalori yang didapati setiap hari melalui makanan adalah sangat penting . Kanak -kanak sendiri mestilah mengetahui jenis -jenis makanan yang terlalu tinggi dalam nilai kalorinya supaya mereka sendiri dapat menjaga diri sendiri daripada menjadi gemuk. Adalah di sarankan supaya bahan -bahan makanan seperti mentega , minuman manis dan lain -lain bahan karbohidrat dikurangkan untuk kanak -kanak ini. Mengawasi makanan kanak -kanak dibawah usia lima tahun mungkin lebih mudah kerana ibu bapa sendiri lebih kuat pengaruhnya keatas anak -anak mereka. Tetapi apabila usia kanak -kanak meningkat lebih daripada enam tahun ini mungkin lebih sukar lagi. Kita biasa mendapati konflik diantara ibu bapa dan kanak -kanak setiap kali perkara makan ini timbul
Corak hidup kanak -kanak mesti diambil kira , iaitu bukan hanya riwayat pemakanan dalam tempoh 24 jam di teliti tetapi aktiviti jasmaninya juga perlu diambil kira. Kanak -kanak yang selalu kerap tidur pada waktu siang atau menonton televisyen dirumah perlu digalakkan bergaul dengan kanak -kanak lain yang bermain dipadang bola atau digelanggang badminton dan sebagainya. Aktiviti -aktiviti seperti renang juga sangat -sangat digalakkan.
Adalah penting diingat bahawa rawatan kanak -kanak yang gemuk mesti menyeluruh merangkumi kesemua aspek yang dibincangkan. Bagi kanak -kanak yang terlampau gemuk diet atau pemakanan yang membekal hanya 60 peratus daripada jumlah kalori yang disarankan bagi usia kanak -kanak itu jika diberi setiap hari ,biasanya akan mengurangkan timbang berat kanak -kanak itu. Bekalan bitamin dan zat besi mesti diberi untuk menampung keperluan kanak -kanak itu. Nasihat dari seseorang ' dietician ' boleh didapatkan untuk membantu dalam usaha ini. Walaupun timbang berat kanak -kanak biasanya turun dengan usaha ini , kebanyakan kanak -kanak menghadapi sukar untuk meneruskan cara rawatan sebegini dengan lamanya.
Apakah bahayanya kegemukan dikalangan kanak -kanak dan remaja ?
Kegemukan jika berterusan keperingkat dewasa boleh membawa masalah seperti kencing manis , darah tinggi , penyakit jantung dan juga masalah sendi -sendi seperti osteoarthritis.
Kegemukan juga boleh membawa kepada emosi. Apabila kanak - kanak mula menempuh alam remaja , perasaan kurang yakin pada dirinya , dan perasaan rendah diri boleh menganggu pergaulan dan membawa kepada kesepian dan perasaan hiba. Prestasi di sekolah boleh merosot. Semua ini mungkin membawa kepada kanak - kanak ini suka berseorangan dan ini pula akan membawa kepada kegemukan yang berterusan dan bertambah.



















