Melatih Pakar Bidan I

E-mail Print PDF

Setelah selesai menjalani latihan selama setahun di Hospital Besar Melaka sebagai doktor pelatih atau ‘houseman’, saya kemudian ditempatkan di hospital Muar, sebagai pegawai perubatan mulai bulan April tahun 1971 . Ini di atas permintaan saya memandangkan saya anak Muar dan isteri saya juga orang Muar dan mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Sultan Abu Bakar. Masa itu saya berniat hendak berjasa dengan orang kampung sendiri. Memang benar ini berlaku kerana ada kalanya saudara-mara datang ke rumah untuk mendapat rawatan penyakit. Keadaan ini kadang-kala menyulitkan dan boleh mengganggu ‘privacy’ saya , tetapi saya tidak hiraukan sangat gangguan itu kerana saya niat untuk berkhidmat. Lagipun saudara -mara yang datang ke rumah bawa buah-buahan dan lain hasil kampung, dapatlah kita menikmatinya.

Pada mula saya bertugas di hospital Muar, saya ditempatkan di bahagian pesakit luar (out-patient clinic). Letih juga kerana perlu merawat puluhan pesakit dan ada-kala menjangkau seratus dalam sehari. Bayangkan berapa minit sahaja kita boleh tumpukan kepada setiap pesakit. Satu atau dua hari atau sampai satu-dua minggu bolehlah pertahan, lepas itu keletihan dan berasa tidak dapat kepuasan professionalisma kerana setiap hari hanya tengok orang demam, selsema , cirit-birit dan lain-lain penyakit remeh. Demi untuk mendalami ilmu kedoktoran dan meningkatkan kemahiran, seseorang doktor perlu mengkhususkan ke arah satu kepakaran, memang banyak cabang kepakaran yang boleh dipilih.

Ketika saya memohon ditempatkan di Muar terlintas juga dalam hati saya untuk berhenti selepas beberapa tahun berkhidmat dengan kementerian kesihatan dan seterusnya membuka klinik persendirian atau ‘GP clinic’ memandangkan ramai doktor-doktor persendirian yang berjaya dan menjadi kaya pada masa itu. Lagi pun tidak ramai doktor-doktor melayu. Saya fikir ini peluang baik untuk saya buka klinik di Muar. Ketika itu tidak lagi terfikir untuk melajutkan pelajaran dan berlatihan untuk jadi pakar dalam bidang apa-apa.

Tetapi beberapa bulan kemudian saya dipindahkan dari klinik pesakit luar ke bahagian perbidanan sebagai pegawai perubatan. Inilah kali pertama saya ditugaskan di unit perbidanan dan saya bertugas di bawah pakar bidan Dr. Yong Wee Chin. Di bawah doktor pakar bidan ada lagi seorang pegawai perubatan yang kanan atau ‘senior’ yang banyak pengalaman tetapi belum lulus jadi pakar, namanya Dr. Ali Jinnah, seorang berketurunan India, Islam. Kedua-dua doktor tersebut mengajar saya banyak ilmu dan kemahiran dalam bidang perbidanan sehingga saya mampu mengendalikan kes-kes kelahiran yang rumit serta melakukan pembedahan cesarean. Pada akhir tahun 1971 anak sulung saya dilahirkan di hospital Muar dan disambut oleh pakar bidan Dr. Yong. Mudah pula isteri saya melahirkan anak sulung kita, biasanya sakit bersalin anak sulung adalah berpanjangan sehingga bejam-jam lamanya.

Kalau hendak memperbaiki kemahiran seperti melakukan pembedahan , menyambut kelahiran bayi atau melakukan apa jenis tatacara perubatan pun, sebaiknya kerjalah di hospital daerah yang sangat kekurangan doktor. Di tempat ini doktor-doktor muda boleh mempertingkatan kemahiran dan mendapat banyak pengamalan praktikal dalam merawat pesakit serta menangani kes-kes rumit , dan peluang seperti ini jarang didapati di hospital-hospital besar atau doktor keluaran luar negara. Ramai pesakit dan banyak kes-kes rumit di hospital daerah dan di luar bandar adalah situasi ideal untuk doktor-doktor yang baru menamatkan latihan ‘housemanship’ seperti saya.

Setelah didedahkan kepada bidang perbidanan dan sakit puan, saya mula berkebolehan untuk menangani kes-kes rumit dan melakukan kelahiran secara vakum ,forseps dan pembedahan cesarean. Banyak kes-kes rumit yang perlu dikendalikan oleh seorang pakar bidan dan 2 orang pegawai perubatan . Ada kalanya kita tidak dapat selamatkan kes-kes perdarahan ketika melahirkan yang berpunca dari apa yang digelar ‘accidental hemorrhage’ atau ‘abruptio placenta’, ibu terus menemui ajal kerana perdarahan tidak boleh dikawal walau dengan transfusi darah. Saya teringat menjalankan tugas ‘Flying squad’ dan dalam beberapa peristiwa dianggil untuk merawat kes-kes pendarahan di ceruk kampung. Biasanya kes-kes ini disebabkan ibu melahirkan anak yang keenam atau lebih ( multipara ) dan mudah ditimpa pendarahan ketika melahirkan anak, ada juga yang terlekat urinya dan mengalami pendarahan yang banyak. Ada satu kes yang mana siibu itu terlekat uri di satu kampung di kawasan Kesang, Muar. Malang apabila saya dan pasukan perawat saya sampai ibu tersebut telah menemui maut. Sedih sungguh keadaan seperti itu berlaku, anak yang baru lahir kehilanagan ibu dan suami kehilangan isteri dalam kaedaan yang menghayat hati saya.
Peristiwa-peristiwa seperti ini jarang berlaku sekarang kerana sebahagian besar kelahiran sekarang dilahirkan di hospital-hospital atau pusat-pusat kelahiran yang mempunyai kakitangan dan peralatan yang lengkap.

Pada tahun 1972, pakar bidan di hospital Muar ditukar Dr. Yong berpindah ke Kuala Lumpur untuk berkerja dengan satu hospital swasta, penggantinya ialah Dr. Teoh Beng Hoe. Pakar bidan baru melihat dan menilaikan yang saya boleh mengendalikan kes-kes rumit dan beliau terus menggalakkan saya memilih bidang perbidanan. Ketika itu jika kita hendak menjadi apa-apa jenis pakar perubatan , para doktor-doktor mesti menjalani peperiksaan di England dan latihan di hospital-hospital besar dalam negara kita dan sebahagian latihan perlu dilakukan di hospital di England.

Biasanya jangka latihan yang formal dan diiktiraf oleh Kolej Pakar Perbidanan England ialah 4 tahun. Latihan saya di hospital Muar tidak diiktiraf. Disamping itu saya perlu lulus 2 peperiksaan MRCOG , iaitu Part 1 yang terdiri dari kertas teori berkaitan sains asas perubatan dan perbidanan dan Part 2 yang terdiri dari kertas teori, ujian klinikal dan ’viva’. Peperiksaan Part 2 hanya boleh dilakukan selepas tamat latihan formal empat tahun dan setelah siap buku ’thesis’ dan ia hanya boleh dilakukan di England sahaja pada ketika itu.

Bukan senang hendak jadi seorang pakar bidan, setakat berkerja di hospital Muar sahaja tidak akan membolehkan saya menduduki peperiksaan pakar bidan MRCOG. Saya pada ketika itu tidaklah begitu minat hendak jadi pakar bidan, semacam malas hendak melanjutkan pelajaran lagi setelah kian lama belajar untuk mendapatkan ijazah asas perubatan MBBS. Lagi pun bekerja di Muar, tidak ada insentif hendak belajar dan tidak terdapat pusat sumber atau perpustakaan perubatan di mana saya boleh pinjam buku untuk menghafal. Tetapi pakar saya Dr. Teoh seboleh-boleh mengajak saya untuk belajar jadi pakar bidan. Kebetulan pada bulan June 1972, peperiksaan MRCOG Part 1 dianjurkan di Singapura. Kolej Pakar Bidan dan Sakitpuan United Kingdom menganjurkan peperiksaan tersebut dan Dr. Teoh seolah-olah memaksa saya menduduki peperiksaan tersebut. Saya tanya beliau bila masa saya hendak belajar dan mengulang-kaji pelajaran sedangkan saya terlalu sibuk dengan tugas. Lantaran beliau memberi cuti belajar selama 2 minggu dan dalam tempoh yang singkat itu saya cuba menghafal balik mata pelajaran perubatan khususnya dalam bidang anatomi, fisiologi dan biokimia.

Sampai tarikh yang ditentukan bagi peperiksaan Part 1 MRCOG di Singapura, saya pun pergi, tidaklah jauh dari Muar. Lagi pun saya biasa juga dengan bandar Singapura yang lama, sebelum ia dimodenkan seperti hari. Waktu kecil saya , bila musim cuti panjang persekolahan, bapa saya akan membawa kita ke Singapura, kadang-kadang sampai sebulan lamanya dan tempat penginapan kita ialah di kampung jawa yang berdekatan dengan arab street. Di situ saya sering bermain waktu cuti sekolah ketika Singapura masih menjadi sebahagian daripada Malaysia. Kini ia hanya menjadi kenangan sahaja. Peperiksaan hanya terdiri dari ujian bertulis sahaja, 2 kertas kalau tidak salah saya, satu kertas ’ essay question’ dan satu kertas lagi terdiri dari ’multipe choice questions’.

Bersama saya yang menjalani peperiksaan tersebut ialah kawan baik yang sama kelas di Universiti Malaya dulu iaitu Dr. Ong Hean Choon. Ketika itu dia bekerja di Universiti Hospital, tentulah dia dapat sokongan dan bantuan yang mencukupi bagi membuat persediaan untuk peperiksaan tersebut, sedangkan saya berkerja di hospital kampung.

Lepas periksa, saya bertugas semula di hospital Muar, seronok juga bekerja di bandar kecil, selain dapat pengalaman pratikal yang banyak , doktor-doktor diberi penghormatan yang tinggi di kalangan masyarakat di Muar, lagi pun saya anak tempatan jadi ramailah orang kenal saya. Kos sara hidup pun murah, walaupun bergaji kecil, kita dapat menikmati kehidupan yang sederhana. Saya masih ingat dengan duit RM 10 saya berbelanja dipasar cukup untuk makan seminggu berbanding sekarang dengan duit yang sebegitu banyak ia hanya cukup untuk sekali makan sahaja. Memang kita tidak boleh banding nilai wang dan kuasa belinya dulu dengan zaman sekarang. Lagipun gaji sekarang jauh lebih tinggi dari dulu. Dulu harga barangan murah sekarang lebih mahal lagi. Lagi pun oleh kerana banyak kenalan, bila kepasar ada di antara peniaga yang kenal akan beri potongan harga atau barangan yang kualitinya terbaik. Untuk menjimatkan belanja, saya dan keluarga menumpang dirumah mertua saya. Suatu hari saya akan ceritakan macam mana kaedah saya menguruskan sumber kewangan yang terhad untuk pengetahuan dan faedah bagi anak-anak dan cucu-cucu saya.

Berbalik kepada latihan saya untuk jadi pakar bidan, sehingga peringkat ini segala-galanya terjadi secara kebetulan tanpa dirancang, ia seolah-olah jatuh ke riba saya. Inilah takdir yang saya tidak pernah duga ,segalanya ditentukan oleh Allah SWT yang berkuasa ke atas semua ciptaanNya. Hingga sampai sekarang saya tidak faham mengapa saya ditakdirkan menjadi pakar bidan. Tuah ayam terletak pada taring kakinya, tuah maanusia siapa tahu. Sebulan kemudian saya dapat berita saya telah lulus peperiksaan part 1 MRCOG yang saya duduki di Singapura , memang bertuahlah saya kerana saya termasuk dalam gulungan 30% calun yang lulus pepriksaan tersebut. Kawan saya Dr. Ong juga lulus dan ini sangat menggembirakan kami berdua.

Saya terus bertugas di hospital Muar dan tidak lama kemudian yang ditawarkan jawatan Pensyarah Pelatih di fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Ketika itu fakulti perubatan baru sahaja ditubuhkan, ramai kawan-kawan saya telah ditawarkan jawatan yang sama di berbagai jabatan dalam fakulti perubatan. Dengan jawatan ini kita termasuk dalam skim latihan untuk jadi pakar yang akan mengambil masa 3 – 4 tahun dan ini peluang baik untuk saya mendapat latihan pakar dan seterusnya menduduki peperiksaan part 2 MRCOG yang yang dianjurkan di United Kingdom sahaja. Justeru itu saya melaporkan diri bertugas dengan fakulti perubatan UKM pada bulan Oktober tahun 1972 yang ketika itu ditempatkan di hospital besar KL. Saya termasuk dalam gulungan tenaga pengajar perintis di fakulti perubatan UKM.

Berpindah ke KL merupakan satu kejutan dan saya terpaksa menumpang di rumah kawan selama beberapa minggu kerana isteri saya , seorang guru perlu menunggu hingga hujung tahun sebelum dapat pindah. Setiap hujung minggu saya akan balik ke Muar dan awal pagi isnin saya akan memandu balik ke KL dan ini berterusan untuk beberapa bulan. Ketika itu memandu dijalan raya tiadalah banyak masalah kerana tidak banyak kenderaan khususnya diawal pagi. Tetapi berulang-alik dari KL ke Muar setiap minggu agak meletihkan badan dan meletakkan saya dalam suatu kaedaan yang ’unsettled’ atau tidak tenteram dan ini tentulah menimbulkan kesukaran untuk saya menumpukan kepada kerjaya saya untuk menjalani latihan sebagai pakar bidan.

Pada hujung tahun 1972 apabila permohonan isteri saya untuk pindah diluluskan, keluarga saya mengikuti saya ke KL ini sangat melegakan saya. Hidup berkeluarga di KL tidak sama seperti di Muar, sewa rumah mahal, begitu juga belanja makan dan pengangkutan juga rumit, hendak beli satu lagi kereta tidak mampu, terpaksalah isteri belajar naik bas untuk pergi mengajar.

Berbalik kepada latihan saya hendak jadi pakar bidan, pengalaman berkerja selama setahun setengah di hospital Muar hanya dapat diiktiraf sebagai latihan ’elective’ dan ini bermakna saya perlukan latihan khusus dalam bidang sakit puan dan perbidanan selama dua tahun di sebuah hospital yang diiktiraf oleh Kolej Perbidanan dan Sakitpuan United Kingdom. Di Malaysia hanya hospital besar Kuala Lumpur mendapat pengiktirafan tersebut. Malangnya ketika itu tiada kekosongan ujud, semua jawatan pelatih pakar telah dipenuhi oleh doktor-doktor yang bertugas dengan kementerian kesihatan. Saya perlu mendapat tempat kerja sambil berlatih di salah sebuah hospital di England, malang juga kerana tiada siapa yang boleh menolong saya pada ketika itu. Terpaksalah saya cari altenatif lain, saya minta jawatan latihan di unit urology di hospital besar KL.....

Last Updated ( Monday, 12 February 2007 08:20 )  

Iklan

mysetbersalin

Bellaposhbowtique.com

 Mangkuk Tingkat

Kedai Buku Online

Login Ahli

Who's Online

We have 16 guests and 3 members online

Statistik

Total Members : 12014
Latest Member : whyda
Today : 8 Registers
This Week : 70 Registers
This Month : 44 Registers
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday4712
mod_vvisit_counterYesterday5953
mod_vvisit_counterThis week34554
mod_vvisit_counterLast week45356
mod_vvisit_counterThis month16705
mod_vvisit_counterLast month158501
mod_vvisit_counterAll days7978605

Your IP: 38.107.191.103
 , 
Today: Sep 03, 2010

Lokasi Kami


View Business Listing in a larger map

Hubungi Kami

     Klinik Dr. Hamid Arshat
     75M Medan Setia Satu,
     Plaza Damansara, Bukit Damansara,
     50490 Kuala Lumpur,
     Malaysia

Telefon temujanji:

  • 603 - 2094 5800
  • 603 - 2094 5262
  • 603 - 2094 1115
Faks : 603 - 2094 9402
E-mail:
  • hamidarshat@hotmail.com