KEMANDULAN ISTERI
Dalam penyiasatan ke atas pasangan kelamin yang mandul, tumpuan utama diberi kepada pihak isteri oleh kerana kebanyakan daripada sebab-sebab kemandulan (60%) adalah berpunca daripada pihak isteri.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan, keterangan yang mendalam tentang kesihatan, edaran haid, perhubungan antara suami isteri perlu dicatat oleh doktor. Kebanyakan daripada soalan yang dikemukakan ini mungkin menyentuh peribadi dan maruah seseorang tetapi bukanlah tujuan doktor hendak memperkecilkan hati seseorang itu, sebaliknya butir-butir ini adalah sangat penting bagi doktor yang merawat.
Butir-butir Penting Dalam Riwayat Pesakit
Persoalan-persoalan akan ditimbulkan seperti berapa tahun pasangan kelamin itu telah berkahwin dan berapa lamakah mereka telah mencuba untuk mendapat anak. Butir-butir tentang edaran haid seperti umur seseorang perempuan itu pertama kali keluar haid, sama ada haid disertai dengan kesakitan atau tidak, dan juga keluaran darah yang luar biasa selain daripada darah haid dan tarikh hari pertama keluaran haid yang terakhir adalah penting untuk dicatat dalam rekod penderita.
Butir-butir mengenai cara-cara dan amalan perancang keluarga perlu diperolehi jika penderita itu pernah mengamalkannya sebelum ia menjadi mandul kerana ini ada kaitannya dengan kesuburan seseorang wanita. Jika penderita itu pernah diperiksa dan disiasat oleh doktor-doktor lain atas kemandulannya, butir-butir mengenai siasatan ini serta keputusan-keputusasn penyiasatan tersebut perlu dibawa apabila pesakit itu menemui pakar untuk mendapat rawatan selanjutnya.
Sejarah tentang kesihatan penderita perlu diambil secara mendalam terutama dari segi penyakit-penyakit tibi, kencing manis (diabetes) dan juga jenis pembedahan yang telah dilakukan seperti pembedahan appendix atau pembedahan perut yang lain. Penyakit-penyakit yang berkaitan dengan sistem peranakan seperti keluaran lendir keputihan, atau rasa sakit di bahagian bawah perut, khususnya ketika haid atau persetubuhan.
Butir-butir lanjut mengenai sesuatu pembedahan yang dilakukan ke atas sistem peranakan seperti D & C adalah penting dicatatkan dalam rekod pesakit.
Pemeriksaan Tubuh Badan
Pemeriksaan yang lengkap akan dilakukan oleh doktor ke atas penderita yang datang ke klinik mandul dengan tujuan untuk mengesan sesuatu keadaan luar biasa yang mungkin terdapat pada tubuh badannya, khususnya pemeriksaan di bahagian peranakan.
Kadang-kala saya mendapati setengah daripada pesakit berasa malu dan segan untuk diperiksa bahagian kemaluannya. Perlu ditegaskan di sini bahawa satu sahaja pemeriksaan ke atas kemaluan penderita iaitu tidak mencukupi dan tidak boleh memberi segala maklumat tentang punca kemandulan penderita itu. Pemeriksaan ini mungkin perlu diulang dan juga disertai dengan beberapa jenis ujian darah dan lain-lain.
Sebab-sebab Kemandulan Perempuan
Untuk memudahkan pemahaman ke atas sebab-sebab kemandulan di kalangan wanita, sebab-sebab tersebut boleh dibahagikan kepada empat bahagian. Pertama, kemandulan yang disebab oleh penyakit dalam faraj dan pangkal rahim, kedua penyakit dalam rahim, ketiga penyakit dalam saluran fallopian dan kegagalan ovulasi (pengeluaran benih).
I. Penyakit-penyakit dalam faraj dan pangkal rahim
Penyakit yang berlaku dalam faraj misalnya jangkitan kuman khususnya kuman Monilia (sejenis kulat), Trichomonas dan lain-lain bakteria boleh menyebabkan kemandulan. Penyakit kuman ini biasanya menyebabkan perubahan dalam lendir faraj. Keadaan begini mungkin memusnahkan setengah daripada benih lelaki kerana keadaan lendir yang wujud tidak sesuai bagi benih-benih tersebut.
Penyakit yang berlaku pada pangkal rahim dan menyebabkan saluran pangkal rahim itu tertutup akan menyebabkan kemandulan.
Keadaan ini boleh berlaku jika timbulnya satu tumbuhan di hadapan pangkal rahim atau pangkal rahim itu menjadi rosak dan tertutup (stenosis) selepas menjalani sesuatu pembedahan seperti amputation of cervix
Lendir yang terdapat pada saluran pangkal rahim mempunyai peranan yang penting dan aktif dalam percantuman benih lelaki dengan benih perempuan, bukan hanya satu saluran yang pasif. Lendir tersebut dipercayai mengambil peranan dalam pengangkutan, penyimpanan, perlindungan serta memperkuatkan tenaga benih-benih lelaki sebelum bergerak menuju ke kilang telur.
Kadang-kala terdapat gangguan dalam bentuk lendir tersebut kerana keadaan tidak seimbang dalam kandungan hormon pesakit itu.
Keadaan ini boleh mengganggu peranan yang dimainkan oleh lendir saluran pangkal rahim. Keadaan begini sering timbul dalam penyakit cervical erosion. Jangkitan kuman (cervicitis) juga boleh mengganggu keadaan lendir itu, dan seterusnya menimbulkan kemandulan.
Penyakit-penyakit yang menimpa saluran faraj dan saluran pangkal rahim dapat dikesan dengan mudah ketika pemeriksaan kemaluan dilakukan. Walaupun demikian ujian-ujian khusus perlu dilakukan untuk mengesahkan jenis jangkitan kuman dan juga mengesan sama ada lendir saluran pangkal rahim boleh menjalankan tugas-tugasnya.
Di antara ujian tersebut ialah:
a) Pemeriksaan mikroskopi ke atas lendir faraj
Ini bertujuan untuk mengesan kuman yang menyebabkan penyakit, seterusnya semaian (culture) boleh dilakukan ke atas lendir itu untuk mengetahui jenis kuman yang menjangkitinya serta jenis ubat yang sesuai untuk rawatan. Setelah diketahui jenis kuman itu, rawatan yang khusus adalah mudah diberikan.
Biasanya ubat-ubat ini diberikan secara pessary di mana ubat itu dimasukkan dalam faraj tiap-tiap hari selama seminggu atau lebih. Ubat pessary ini mengandungi banyak jenis ramuan seperti antibiotik, antifungal dan lain-lain yang boleh memusnahkan berbagai jenis kuman.
b) Pemeriksaan mikroskopi ke atas lendir pangkal rahim
Ini bertujuan untuk mengesan sama ada benih lelaki terdapat dalam lendir itu. Juga ia bertujuan untuk mengesan secara tidak langsung, sama ada wanita mandul itu telah mengeluarkan telur atau tidak. Ujian yang digelar post-coital test ini perlu dilakukan lebih kurang 8 jam setelah persetubuhan dilakukan dan juga pada ketika benih lelaki tidak terdapat dalam lendir itu, ia mungkin disebabkan oleh beberapa perkara seperti kemandulan lelaki atau sesuatu penyakit yang berlaku pada lubang faraj dan saluran pangkal rahim.
Jika kemandulan disebabkan oleh cervical erosion iaitu pangkal rahim menjadi merah warnanya rawatan sejajar ialah dengan cautery, di mana pangkal rahim dibakar dengan menggunakan alat elektro, cyro (sejuk) atau bahan kimia. Pembakaran ini bertujuan untuk merangsangkan pertumbuhan sel yang normal di pangkal rahim. Dengan cara ini tisu-tisu pangkal rahim boleh sembuh seperti sediakala.
Penyakit-penyakit Dalam Rahim
Rahim adalah perkakas yang amat penting dalam kehamilan kerana ia merupakan satu ruang di mana hasil kehamilan itu tumbuh dan membesar sehingga menjadi bayi. Jika sesuatu gejala berlaku ke atas rahim, maka kehamilan akan tergendala. Keadaan selaput endometrium mungkin tidak sesuai untuk menerima implantasi atau penanaman embryo kerana sesuatu sebab penyakit. Bentuk ruang rahim juga mungkin tidak sesuai sehinggakan setiap embryo yang berjaya menempuhi proses implantasi, tidak berjaya tumbuh dan berkembang. Di antara penyakit yang boleh menimpa rahim ialah penyakit semula jadi di mana bentuk rahim menjadi luar biasa atau bercabang dua seperti yang terdapat dalam bicornuate uterus, tumbuhan bukan kanser seperti fibroid dan juga penyakit jangkitan kuman khususnya penyakit tibi.
Dalam pemeriksaan faraj tumbuhan pada rahim biasanya mudah dikesan tetapi penyakit-penyakit lain mungkin memerlukan penyiasatan serta ujian yang lebih teliti. Di antara ujian-ujian tersebut ialah:
(a) Dilatation dan Curettage (D & C)
Ini adalah satu prosedur pembedahan kecil untuk mengambil contoh tisu dari selaput endometrium dalam ruang rahim. Ini penting dilakukan dalam waktu yang tertentu iaitu dalam bahagian akhir pusingan haid ataupun beberapa hari sebelum haid berikutnya dijangka keluar. Tujuan pemeriksaan ini ialah untuk mengesan sama ada wanita itu ada mengeluarkan benih (ovum) atau tidak kerana ia akan menentukan sama ada dinding rahim (endometrium) itu sesuai untuk menerima kehamilan atau tidak. Dalam pemeriksaan ini juga ujian khusus untuk mengesan penyakit tibi dilakukan dengan menghantar contoh endometrium untuk guinea pig inoculation. Penyakit tibi yang menimpa rahim dikatakan menyebabkan kemandulan di kalangan 2% dan pada pesakit yang datang ke klinik mandul. Jika dipastikan penyakit tibi, rawatan khusus dan ubat akan diberikan oleh doktor pakar tibi.
(b) Pemeriksaan X-ray (hysterography)
Satu pemeriksaan istimewa yang menggunakan X-ray akan dilakukan untuk mengesan jenis penyakit dalam rahim seperti penyakit tumbuhan atau keganjilan dalam bentuk rahim (bicornuate). Tujuan lain ujian ini ialah untuk mengesan sama ada saluran Fallopian terbuka atau tidak dan juga sama ada saluran pangkal rahim itu normal atau tidak. Kadang-kala terdapat saluran pangkal rahim lemah (incompetent) dan ini menyebabkan keguguran berulang kali.
Pemeriksaan ini dilakukan dengan memasukkan sejenis cecair khas (contrast medium) ke dalam ruang rahim dan ketika itu gambar X-ray diambil. Ujian ini tidak memerlukan penderita dimasukkan ke hospital. Ini biasanya dilakukan dalam bilik X-ray. Dalam pemeriksaan ini, sedikit kesakitan mungkin dirasai ketika cecair itu dimasukkan ke dalam rahim. Adalah penting bagi semua penderita untuk mengetahui bahawa ianya tidak hamil ketika pemeriksaan X-ray ini dilakukan kerana bahangan X-ray mungkin membawa mudarat kepada bayi yang dikandungnya. Untuk mengelakkan kemungkinan kecacatan bayi ini, tarikh keluar haid yang terakhir perlu diketahui. Biasanya X-ray ini dilakukan antara 4-7 hari selepas haid berhenti.
Jika didapati kemandulan disebabkan oleh tumbuhan atau sesuatu kelainan dalam bentuk rahim, pembedahan mungkin boleh dilakukan untuk membetulkannya. Biasanya hasil pembedahan bagi rawatan penyakit tumbuhan fibroid adalah memuaskan tetapi jika tumbuhan ini terlalu banyak dan telah merosakkan saluran fallopian, hasil pembedahan seringkali menghampakan



















